Apakah itu jagaan semasa mengandung?
Jagaan semasa mengandung merupakan khidmat yang diberi kepada ibu mengandung apabila sahaja ia disahkan hamil. Khidmat tersebut meliputi lawatan berjadual secara berkala ke klinik ibu mengandung, penilaian berterusan ke atas tumbesaran janin dan mengenalpasti faktor-faktor risiko yang mungkin wujud di kalangan ibu tersebut. Pengurusan seterusnya adalah sangat penting di samping memberi pendidikan dan nasihat kepada ibu serta keluarganya.
Jagaan ini akan berterusan sehinggalah ibu bersalin.
Apakah tujuan jagaan semasa mengandung?
Tujuannya adalah untuk memastikan ibu dan bayi yang dikandung itu sentiasa berada dalam keadaan sihat. Ini dilakukan dengan memantau kehamilan dan merawat segala masalah yang timbul. Jagaan semasa mengandung yang anda akan terima mungkin dianggap membebankan tetapi ia adalah untuk kebaikan anda bagi mengenalpasti masalah di peringkat lebih awal. Oleh yang demikian, adalah perlu bagi anda untuk membuat lawatan secara berkala seperti yang dinasihatkan. Pemeriksaan yang dibuat secara tekal akan menghasilkan satu kehamilan yang sihat dan menjamin kelahiran yang selamat.Siapakah yang memberi khidmat ini?
Bagi kebanyakan ibu, adalah lebih senang jika jagaan ini diberikan oleh doktor keluarga dan pihak hospital. Bagi ibu-ibu yang mempunyai faktor risiko yang minima, seorang doktor, jururawat atau bidan sudah cukup untuk memberi sebahagian besar dari khidmat jagaan ini. Di Malaysia, jagaan semasa mengandung asas diberi oleh:
Jururawat Masyarakat yang ditempatkan di klinik masyarakat.
Klinik Kesihatan Ibu dan Kanak-Kanak yang dianggotai oleh jururawat kesihatan/jururawat terlatih dan jururawat masyarakat/bidan.
Doktor, jururawat dan bidan di klinik-klinik pakar Obstetrik dan Ginekologi di hospital-hospital.
Klinik-klinik doktor swasta.
Klinik pakar swasta.
Hospital bersalin swasta.
Apakah jagaan sebelum mengandung?
Jagaan sebelum mengandung merupakan jagaan yang diberi kepada wanita-wanita yang bakal menjadi ibu yang merancang untuk hamil di masa akan datang. Taraf kesihatan am bakal-bakal ibu ini boleh diperiksa dan usaha-usaha akan dilakukan untuk menstabilkan pengurusan sesuatu masalah yang wujud seperti diabetes, tekanan darah tinggi, masalah buah pinggang, paru-paru atau masalah-masalah neurologi yang kronik. Implikasi atau kesan masalah-masalah ini semasa hamil ke atas ibu dan bayi akan dibincangkan kemudian. Keimunan atau ketahanan terhadap demam cacar air atau rubella, kesan bahaya dari pengambilan bahan-bahan tertentu seperti rokok, alkohol perlu diubahsuai. Terapi ubat-ubat tertentu mungkin perlu diubah atau dihentikan buat sementara waktu ketika hamil.
Pada umumnya, jagaan sebelum mengandung perlu meliputi:
Suntikan.
kaunseling genetik.
pengurusan beberapa masalah perubatan.
nasihat mengenai makanan atau diet.
nasihat mengenai dadah, alkohol dan merokok.
pengambilan pil perancang keluarga atau kontraseptik.
nasihat mengenai kehamilan di masa hadapan.
pendidikan kesihatan untuk kehamilan.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan