Di Malaysia, pemeriksaan ultrasound bukanlah sesuatu yang rutin dilakukan untuk semua ibu mengandung. Di tempat-tempat yang memiliki kemudahan ini ianya sangat baik jika dilakukan di trimester pertama dan pada minggu yang ke 18. Kemudian diulang, mungkin di minggu ke 34 untuk melihat tumbesaran janin dan kedudukan uri.
- Ia dilakukan apabila tarikh kedatangan haid yang terakhir tidak diketahui dan juga di kalangan pesakit yang kedatangan haidnya tidak menentu.
Tujuan ultrasound ialah:
- Dilakukan di awal kehamilan untuk mendapat maklumat berhubung dengan jumlah janin, kebolehhidupannya dan untuk menentukan umur janin dengan tepat.
- Ia membantu mendiagnoskan komplikasi kehamilan lebih awal, seperti pengguguran tertinggal, kehamilan ektopik dan kehamilan molar.
- Ia membantu mendiagnoskan keadaan janin seperti anensefali, spina bifida dan keabnormalan kromosom seperti sindrom Down. Juga mengesan masalah yang mungkin wujud di penghujung kehamilan seperti plasenta previa juga boleh didiagnoskan.
- Pengimbasan awal boleh membantu menentukan jangkaan tarikh kelahiran.
Bagaimanakah ultrasound ini dilakukan?
Prosedur ini tidak mendatangkan sebarang kesakitan. Anda hanya perlu berbaring di atas kerusi panjang dan gel ultrasound akan disapukan ke perut anda supaya imej bayi anda akan dapat dilihat dengan jelas. Gelombang bunyi yang berfrekuensi tinggi akan dihasilkan oleh kuar ultrasound dan ia digunakan untuk menghasilkan gambar bayi. Anda akan dapat melihatnya di skrin. Gambar yang terbaik dapat dihasilkan apabila pundi kencing anda penuh. Oleh itu anda akan diminta untuk minum lebih banyak cecair sebelum prosedur ini dijalankan. Ini dilakukan di peringkat awal kehamilan. Di akhir kehamilan anda, rahim akan menonjol keluar dari rerongga pelvis dan anda tidak lagi perlu mengisi pundi kencing sebegitu banyak. Prosedur ini akan mengambil masa antara 5 minit hingga setengah jam, bergantung kepada bentuk pengimbas.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan